Nama pemain bola sepak wanita Afrika Selatan, Miche Minnies menjadi sebutan peminat antarabangsa apabila beliau didapati memiliki raut wajah mirip lagenda Brazil, Ronaldinho Gaucho.

Minnies kini beraksi bersama kelab Mamelodi Sundowns di Afrika Selatan dan kelibatnya tular di media sosial apabila peminat mengesyaki beliau mungkin anak perempuan kepada Ronaldinho.

Foto pemain yang berusia 21 tahun itu ketika beraksi disiarkan bersama Ronaldinho ketika era kegemilangannya dan persamaan mereka tampak ketara apatah lagi kedua-duanya memakai jersi kuning.

Minnies sememangnya seorang pemain yang berbakat apabila meledak 23 gol dalam semua kejohanan sekaligus membantu kelabnya, Sundowns mengekalkan gelaran juara Liga Super selain mara ke final kelayakan Piala COSAFA Cup dan Liga Juara-Juara Wanita CAF.

Dia sekali lagi menjaringkan gol Isnin lalu ketika Sundowns membelasah Costa Do Sol 4-0 dalam saingan CWCL.

Persamaan beliau dengan Ronaldinho menarik perhatian peminat yang membandingkan kedua-duanya di media sosial. Malah, mereka juga gesa ujian DNA dijalankan untuk mengesahkan sama ada Miche mempunyai pertalian darah dengan Ronaldinho.

Seorang peminat di Twitter berkata: “Miche Minnies dari Sundowns Ladies mengingatkan saya dengan seseorang.”

Peminat kedua menambah: “Ronaldinho mesti menjelaskan kenapa raut wajahnya mirip dengan Miche Minnies yang beraksi dengan Mamelodi Sundowns Ladies di Afrika Selatan!”

“Ronaldinho perlu jelaskan ini. Dia seperti berkunjung ke Afrika Selatan 20 tahun lalu,” reaksi peminat keempat.

Walaupun Miche bukan anak sebenar Ronaldinho, perbandingan itu sangat melucukan selain membuatkan peminat tertunggu-tunggu pencapaian seterusnya pemain berbakat berusia 21 tahun itu.

Ketika ini, Ronaldinho mempunyai anak lelaki yang lebih mesra dengan panggilan Joao Mendes kini bersama Akademi Barcelona, La Masia.

Joao Mendes yang kini berusia 17 tahun telah menjalani sesi percubaan bersama kelab gergasi La Liga itu sejak awal Januari lalu selepas menamatkan kontraknya dengan Cruzeiro.